MAJLIS PERHIMPUNAN BULANAN JABATAN AKAUNTAN NEGARA MALAYSIA (JANM) MAC 2024

Institut Perakaunan Negara (IPN) telah diamanahkan untuk menggalas tanggungjawab sebagai tuan rumah Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) pada 1 April 2024 di Dewan Serbaguna, Aras 7.

Majlis dimulakan dengan berkumandangnya lagu Negaraku, Lagu JANM dan Lagu Perkhidmatan Awam yang dinyanyikan oleh kumpulan koir Voice Of AG dan disusuli dengan bacaan doa oleh Encik Ahmad Nur Fairuz bin Mashod dari IPN.

Akauntan Negara Malaysia, YBrs. Puan Nor Yati binti Ahmad telah menyampaikan ucaptama yang berintipatikan Ramadan sebagai madrasah penyucian jiiwa dan sahsiah. Beliau juga turut mengucapkan tahniah atas kejayaan warga di dalam usaha meningkatkan kompetensi melalui penyertaan kursus pentauliahan anjuran IPN.

Beliau menzahirkan rasa syukur dan mengucapkan tahniah kepada seluruh warga BPOPA atas komitmen berterusan bagi memastikan Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2023 berjaya disiapkan mengikut tempoh yang telah ditetapkan. Di samping itu, beliau turut memaklumkan pelaksanaan Go- Live iPayment dan juga prestasi pengurusan wang tak dituntut Februari 2024 serta pindaan akta wang tak dituntut.

Di dalam majlis ini YBrs. Akauntan Negara Malaysia turut menyampaikan sijil pentauliahan ACDA kepada 19 penerima yang berjaya di samping menyempurnakan 3 sesi peluncuran iaitu Portal baharu Perakaunan Pengurusan dari Bahagian Akaun Kementerian Kewangan, Pelan Strategik JANM 2024 – 2025 dari Bahagian Pembangunan, Pengurusan dan Perakaunan dan Produk Pembiayaan Al Qard dari Ko- Akaun.