Lawatan ke MAHA 2018

Pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Antarabangsa 2018 (MAHA 2018) telah berlangsung pada 22 November 2018 sehingga 2 Disember 2018 bertempat di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang. Acara yang dijalankan secara dwi tahunan ini  menyasarkan kehadiran sramai 3.5 juta pengunjung pada tahun ini. Warga IPN tidak ketinggalan dalam memeriah dan menyokong  acara ini di mana seramai 25 orang telah mengikuti lawatan yang dianjurkan oleh Unit Perhubungan Awam IPN pada 26  November 2018 yang lalu. Tujuan lawatan ini diadakan adalah untuk memberi peluang kepada warga IPN merasai sendiri pengalaman dan mendapatkan pengetahuan serba sedikit mengenai dunia pertanian dan perusahaan makanan dari segi kemajuan teknologi dan usaha inovasi di Malaysia.

Dengan tema pada tahun ini “ Makanan Kita Masa Depan Kita” pengunjung disajikan dengan pelbagai pameran berkaitan dengan teknologi pertanian, perladangan, penternakan dan perusahaan makanan terkini dari dalam dan luar negara. Sebanyak 13 pavilion negeri telah mengadakan pameran yang menampilkan kebudayaan dan identiti serta juadah makan yang boleh dinikmati oleh pengunjung-pengunjung yang hadir. Gerai-gerai menjual produk segar juga ada disediakan dan ini memberi peluang kepada mereka yang hadir untuk mendapatkan produk yang segar dan terbaik dari ladang. Anak-anak pokok buah-buahan dan pelbagai jenis benih bunga-bungaan dan sayur-sayuran juga ada dipamerkan dan dijual kepada para pengunjung. Kebanyakannnya dihasilkan melalui teknologi pertanian yang terkini. Tidak ketinggalan juga pengusaha-pengusaha makanan tempatan membuat promosi sepanjang pameran ini diadakan.

Semoga pameran seperti ini akan diadakan lagi dengan lebih meriah pada masa hadapan sebagai satu usaha kerajaan bagi meningkatkan produktiviti dan kualiti makanan dalam negara. Usaha pemerkasaan terhadap industri pertanian dan perusahaan makanan adalah penting bagi menjamin bekalan makanan negara tidak terjejas. IPN akan sentiasa menyokong usaha kerajaan dalam memajukan industri utama ini.