MAJLIS HARI RAYA AIDILFITRI INSTITUT PERAKAUNAN NEGARA

Bertemakan “Raya Sekampung”, Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan Institut Perakaunan Negara (KESKIP) telah berjaya menganjurkan Majlis Hari Raya Aidilfitri pada 2 Mei 2024 di Dewan Seri Bayan.

Berbekalkan semangat kerjasama dan kebersamaan, seluruh warga IPN mengembleng tenaga bagi memastikan majlis kali ini berjalan dengan lancar.

Pengarah IPN, YBrs. Dr. Ahmad Shukri bin Abdul Gani turut menyampaikan ucapan dan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua atas usaha dan komitmen bagi meraikan lebaran di IPN yang sememangnya menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh seluruh warga.

Majlis ini turut dihangatkan dengan pelbagai aktiviti seperti persembahan Raya, cabutan bertuah serta sambutan hari lahir warga IPN dan juga sudah tentu aneka juadah tradisional dan moden turut dihidangkan kepada tetamu yang hadir.

Pada kali ini telah menyaksikan penguasaan kemenangan kejuaraan 2 tahun berturut-turut oleh Unit Pengurusan Kompleks dan Fasiliti di dalam pertandingan Gerai Tercantik dan disusuli oleh gabungan 4 Unit (Penginapan Sajian dan Riadah, Perpustakaan, Perhubungan Awam dan Pembangunan Kerohanian) selaku naib johan dan Trainers IPN dari Pusat Akademik dan Kompetensi di tempat ketiga. Manakala penyedia pembekal perkhidmatan keselamatan telah berjaya meraih kemenangan untuk kategori khas.

Kebetulan memakai warna busana Syawal yang sama telah membuahkan hasil kepada Encik Syahir dari Unit Perpustakaan dan Puan Sarini dari Unit Pelaksanaan Latihan untuk meraih anugerah “Alamak Sedondon Raya”.

Terima kasih atas penyertaan semua dan berjumpa lagi di Aidilfitri akan datang.