LAWATAN PENANDAARASAN OLEH INSTITUT PERAKAUNAN NEGARA (IPN) KE INSTITUT SOSIAL MALAYSIA (ISM)

Pada 21 Mei 2024, Institut Perakaunan Negara (IPN) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Institut Sosial Malaysia yang bertujuan sebagai lawatan penandaarasan institusi latihan awam (ILA). Delegasi IPN telah diketuai oleh YBrs. Dr. Ahmad Shukri bin Abdul Gani, Pengarah IPN serta pegawai-pegawai kanan IPN dan sesi pertukaran maklumat telah dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Faridah binti Awang, Pengarah ISM.

Ke arah memperkasakan aspek penyelidikan di IPN dan fungsi IPN sebagai ILA dalam bidang perakaunan dan pengurusan kewangan, IPN meletakkan ISM sebagai penanda aras berikutan penerbitan ilmiah ISM melalui International Journal of Social Policy and Society (IJSPS) telah disenaraikan di dalam portal Malaysian Citation Index (MYCITE). Selain itu, ISM juga bukan hanya merupakan sebuah ILA, tetapi juga merupakan Pusat Bertauliah yang menawarkan kursus Sijil Kemahiran Malaysia dalam bidang khidmat komuniti dan penjagaan orang tua yang diiktiraf oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Oleh itu, lawatan ini diadakan bagi menjalinkan kerjasama strategik antara IPN dan ISM dalam pengurusan latihan berdasarkan kompetensi dan akauntabiliti awam melalui penganjuran kursus untuk dijadikan tanda aras kepada IPN. Selain itu, turut dibincangkan mengenai pengalaman penerbitan berwasit, pengurusan kualiti, fasiliti dan kursus-kursus berimpak antara ISM dan IPN. Delegasi IPN turut melawat kemudahan-kemudahan di ISM seperti Makmal Komputer, Perpustakaan, Dewan Intelek dan asrama.

Diharapkan kerjasama strategik antara IPN dan ISM sebagai institusi latihan awam (ILA) akan terus mengorak langkah membangun dan memperkasa modal insan yang lebih holistik pada masa akan datang.