Pada 21 Jun 2019 yang lalu, Institut Perakaunan Negara melalui Kelab Sukan dan Kebajikan Kakitangan IPN (KESKIP) telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2018 bertempat di Dewan Seri Bayan, Blok B. Dengan bertemakan “Warna Warni Aidilfitri”. Antara aktiviti yang telah diadakan untuk menceria sambutan adalah Pertandingan Gerai Tercantik, Pertandingan Busana Aidilfitri Tercantik dan Pertandingan like terbanyak bagi suafoto facebook berkaitan majlis ini.

Pelbagai variasi juadah makanan telah dihidangkan tidak kira moden atau tradisional. Antara yang menjadi tumpuan ialah juadah sate dan juadah aidilfitri seperti ketupat, lemang dan rendang. Gerai – gerai yang dibuka oleh Seksyen dan Unit-unit di IPN turut menyajikan juadah istimewa khas kepada semua tetamu yang hadir terutama sekali kepada tetamu-tetamu VIP IPN daripada SK parit Baharu, SK Seri Chempaka, Balai Cerap Selangor dan Institut Latihan Dakwah Selangor yang sudi meluangkan masa untuk singgah ke majlis ini. Tidak ketinggalan juga syarikat-syarikat pembekal perkhidmatan di IPN juga turut membuka gerai bagi bagi memeriahkan lagi suasana sambutan Aidilfitri IPN .

Syarikat pembekal perkhidmatan makanan IPN iaitu PPU Enterprise telah dinobatkan sebagai Gerai Tercantik IPN manakala warga institusi ini telah memilih Encik Lister Bulin anak Julai dan Puan Nurizzati binti Mohammad Amir selaku pemenang Busana Aidilfitri Tercantik IPN 2018. Encik Abdul Aziz bin Mosli pula telah memenangi suafoto terbanyak yang menerima like di laman facebook. Hadiah – hadiah telah disampaikan oleh Pengarah IPN. Encik Burhanudin bin Mohd Nor.. Seperti tahun-tahun sebelum ini majlis ini turut diserikan dengan pemberian duit raya kepada anak-anak warga IPN dan anak-anak TASKA Ummu Salamah yang turut sama hadir ke majlis ini.Semoga dengan majlis ini dapat mengeratkan lagi hubungan ukhwah sesama warga IPN.