PERUTUSAN PENGARAH IPN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Selamat Datang ke Laman Sesawang Rasmi Institut Perakaunan Negara (IPN).

Institut Perakaunan Negara atau lebih dikenali sebagai IPN merupakan institut latihan awam di bawah Jabatan Akauntan Negara Malaysia yang ditubuhkan selaras dengan dasar kerajaan untuk melahirkan penjawat awam yang berdaya saing dalam menempuh arus globalisasi yang amat mencabar. IPN berperanan untuk membangunkan modal insan dalam bidang perakaunan dan kewangan sektor awam melalui kursus-kursus yang ditawarkan.

Memberi Perkhidmatan Berkualiti

IPN sentiasa berusaha untuk meningkatkan kecekapan dalam penyampaian perkhidmatan kepada semua pelanggan dari semasa ke semasa. Ini terbukti dengan Penganugerahan Sijil MS ISO 9001:2015 – Pengurusan dan Pengendalian Kursus  pada 31 Julai 2018 yang merupakan kesinambungan daripada pensijilan MS ISO 9001:2008 yang diterima IPN sebelum ini. Penganugerahan ini menunjukkan komitmen jabatan dalam memastikan kualiti perkhidmatan yang disampaikan kepada para peserta yang menghadiri kursus di IPN adalah sentiasa dipertingkatkan dan memenuhi kehendak pelanggan seperti yang dijanjikan. Selain itu, pensijilan Amalan Persekitaran Berkualiti 5S yang diperolehi sejak tahun 2011 dan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) mulai 2014 membuktikan komitmen IPN dalam menyediakan program latihan yang terbaik dan kemudahan pembelajaran yang kondusif.

IPN – Core Center Kursus Generik Kewangan

Laman Rasmi IPN diwujudkan bagi memberi informasi kepada semua pelanggan IPN mengenai perkhidmatan yang ditawarkan di IPN. Sebagai ‘Core center’ Kursus Generik Kewangan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam. IPN komited dalam menganjurkan kursus-kursus yang berkualiti dalam bidang perakaunan dan kewangan sektor awam dan peserta boleh mendapat maklumat pelaksanaan Kursus Perakaunan, Kursus Kewangan, Kursus Pengauditan dan Kursus Sistem Maklumat Perakaunan. Dengan itu, ia akan dapat membantu pelanggan IPN untuk mendapatkan maklumat terkini yang diperlukan terutamanya dalam merancang dan memilih kursus yang bersesuaian dan mengikut keperluan kakitangan dan jabatan masing-masing. Kakitangan dan jabatan boleh membuat permohonan secara bertulis ataupun memohon kursus dalam talian (online) melalui Sistem Pengurusan Latihan Institut Perakaunan Negara (SPL-IPN).

Penerbitan Jurnal dan Penyelidikan

Selain itu, pelanggan IPN juga boleh mendapatkan informasi penerbitan IPN samada jurnal atau penyelidikan yang dijalankan oleh penyelidik bagi pihak IPN melalui Pusat Pembangunan Profesional IPN (IPNCPD) di Cyberjaya. Pusat Pembangunan Profesional, IPN (IPN Centre of Professional Development) yang diwujudkan pada tahun 2014 merupakan inovasi strategik dan langkah proaktif IPN dalam melahirkan lebih ramai akauntan sektor awam yang memiliki kelayakan profesional. Bagi mencapai tujuan ini, IPN telah mewujudkan hubungan strategik dengan badan-badan profesional dan institusi awam dari dalam dan luar negara.

Maklumat berhubung kemudahan yang ditawarkan oleh IPN juga boleh diperolehi dalam Laman Rasmi IPN bagi memudahkan pihak jabatan atau agensi merancang tempat berkursus berdasarkan kepada kemudahan yang terdapat di IPN. Pihak IPN terbuka untuk menerima sebarang permohonan bagi tujuan tersebut.

Insha Allah, pihak IPN akan berterusan menyediakan latihan yang terancang untuk penjawat awam keseluruhannya dalam bidang perakaunan dan kewangan di samping menyahut seruan kerajaan dalam melahirkan lebih ramai akauntan sektor awam profesional.

Selamat melayari Laman Web Rasmi Institut Perakaunan Negara.

Dr. Ahmad Shukri bin Abdul Gani C.A.(M), CPA (AUST), CPFA (UK)
Pengarah
Institut Perakaunan Negara
Jabatan Akauntan Negara Malaysia