Lawatan ANM ke IPN

Datuk Yacob bin Mustafa, Akauntan Negara Malaysia telah mengadakan lawatan kerja rasmi ke Institut Perakaunan Negara di Sabak Bernam pada 2 April 2021. Dalam program ini beliau turut diiringi oleh Encik Sadikin bin Aton, Timbalan Akauntan Negara (Korporat) dan pegawai kanan JANM yang lain. Lawatan ini bertujuan untuk melihat pengurusan operasi IPN di Sabak Bernam. Beliau telah diberikan taklimat berkenaan dengan aktiviti-aktiviti serta perancangan IPN oleh Encik Burhanudin bin Mohd Noor, Pengarah IPN ketika pertemuan beliau bersama pegawai-pegawai kanan IPN pada sebelah pagi.

Seterusnya pada sesi petang beliau telah bertemu dengan seluruh warga kerja IPN dalam Program The Tarik Bersama ANM. Dalam program yang telah diadakan secara santai itu beliau telah meluangkan masa selama hampir dua jam untuk beramah mesra sambil berbincang dengan warga kerja IPN. Program ini memberi peluang kepada pegawai-pegawai IPN untuk memberikan input-input kepada Akauntan Negara Malaysia mengenai masalah yang dihadapi sewaktu bertugas dan perbincangan bagi menambah baik kualiti perkhidmatan IPN.

Selepas program tersebut Datuk Yacob bin Mustafa meneruskan agenda lawatan dengan aktiviti riadah berbasikal melawat ke seluruh kampus IPN bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan IPN. Beliau telah sempat melawat projek pembangunan sistem kumbahan, tapak cadangan Laman MPSAS IPN, dan kemudahan-kemudahan sukan di IPN yang telah dinaik taraf. Pada sebelah malam beliau telah sempat IPN mengikuti kuliah maghrib yang telah diadakan di Surau As-Solihin.

IPN mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada beliau di atas kesudian beliau meluangkan masa bagi melakukan lawatan kerja ini. Segala nasihat dan pandangan beliau bagi memajukan IPN akan memerikan semangat kepada warga IPN untuk memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang pada masa hadapan.