Lawatan Kerja Timbalan Akauntan Negara Korporat Ke IPN

Encik Sadikin bin Aton, Timbalan Akauntan Negara Korporat telah mengadakan lawatan kerja ke Institut Perakaunan Negara, Sabak Bernam pada 10 Oktober 2021 sehingga 11 Oktober 2021. Lawatan ini diadakan bertujuan untuk meninjau projek-projek pembangunan yang sedang dijalankan di IPN. Pada hari pertama lawatan beliau telah disambut oleh Puan Hawariah binti Idris, Pengarah IPN bersama-sama dengan pegawai-pegawai kanan yang lain. Bersempena dengan lawatan ini satu majlis bacaan yasin dan doa selamat telah diadakan di Surau As-Solihin dengan dihadiri oleh warga kerja IPN.

Pada hari kedua lawatan Encik Sadikin bin Aton telah mengadakan pertemuan dengan pegawai-pegawai kanan IPN bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pengurusan IPN. Selama hampir dua jam pertemuan, beliau telah diberi taklimat oleh Puan Hawariah binti Idris dan pegawai-pegawai kanan yang lain tentang prestasi semasa aktiviti-aktiviti pengurusan IPN. Seterusnya satu majlis apresiasi telah diadakan di Auditorium Sekendi di mana beliau telah berkesempatan mengadakan pertemuan dengan semua warga kerja IPN di Auditorium Sekendi. Dalam majlis itu beliau telah menyampaikan amanat kepada semua warga kerja IPN. Dalam amanatnya, sebagai salah seorang pegawai yang pernah bertugas di IPN beliau mengharapkan agar IPN akan terus maju dan menjadi salah satu institut latihan awam terbaik dalam perkhidmatan awam Malaysia. Selepas itu beliau telah diraikan dalam satu acara ringkas memotong kek dan penyampaian hadiah bagi menyambut hari kelahiran dan persaraan beliau yang bakal menjelang pada 14 November 2021. Satu video khas apresiasi berkenaan beliau juga telah ditayangkan bagi menghargai sumbangan beliau dalam pembangunan dan kemajuan IPN.

Selesai sahaja majlis tersebut beliau meneruskan agenda lawatan kerja dengan melawat sekitar kawasan-kawasan projek pembangunan yang sedang dijalankan di IPN. Dalam tinjauan tersebut beliau dan Pengarah IPN beserta dengan rombongan telah diberi taklimat oleh wakil dari Jabatan Kerja Raya Daerah Sabak Bernam. Lawatan ini adalah penting bagi melihat kemajuan-kemajuan projek yang sedang dijalankan bagi memastikan semuanya siap dalam tempoh yang dirancang. Lawatan turun ke padang oleh Timbalan Akauntan Korporat adalah komitmen dan sokongan daripada pihak pengurusan Jabatan Akauntan Negara Malaysia bagi kemajuan dan pembangunan IPN.