Sphider
 
 
   

SEJARAH INSTITUT PERAKAUNAN NEGARA

 

 

Pada tahun 1980, Seksyen Perancangan Tenaga Manusia dan Latihan di dalam bahagian Pemajuan Sumber Perakaunan telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan melaksana program-program latihan di Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM). Awal tahun 1993, Seksyen Perkhidmatan Latihan, di bawah Bahagian Perkhidmatan Korporat dan bantuan Pengurusan yang telah mengambil alih tugas ini setelah berlakunya penyusunan semula JANM. Pada ketika itu, operasi seksyen ini dikendalikan di Tingkat 22, Plaza Pengkalan, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur.

Lanjutan daripada itu, Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah berusaha untuk mendapatkan kelulusan bagi penubuhan institut latihannya sendiri yang serba lengkap. Pelbagai kertas kerja telah disediakan termasuklah satu permohonan untuk penubuhan Institut Latihan Jabatan Akauntan Negara malaysia (sebelum ini dikenali sebagai Institut Perakaunan Sektor Awam Malaysia – IPSAM) dan cadangan keperluan kemudahan untuk institut ini. Hasil daripada usaha gigih tersebut Jabatan Akauntan Negara Malaysia telah diperuntukkan sebanyak RM6 juta untuk pembinaan sebuah institut dalam Rancangan Malaysia ke 7 (RMK7).

Sehubungan dengan itu juga, sebidang tanah seluas 100 ekar di kawasan Sungai Lang, Mukim Bagan Nakhoda Omar, Daerah Sabak Bernam, Selangor Darul Ehsan telah diperolehi daripada Kerajaan Negeri Selangor melalui kelulusan mesyuarat EXCO Majlis Tindakan Ekonomi Negeri Selangor (MTES) yang bersidang pada 12 Ogos 1998 sebagai tapak pembinaannya. Pada 3 Ogos 1999, majlis upacara pecah tanah telah disempurnakan oleh Y. B Tun Daim Zainuddin, Menteri Kewangan 1, Malaysia.

Mulai tahun 2003, institut latihan ini telah mendapat taraf sebagai salah satu bahagian di JANM dan dikenali sebagai Institut Perakaunan Negara (IPN) dengan 32 perjawatan dan diketuai oleh seorang Timbalan Pengarah Gred W48. Operasi bahagian masih lagi dikendalikan di Tingkat 22, Plaza Pengkalan, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. IPN telah berpindah secara rasminya ke kompleks barunya di Sungai Lang, Sabak Bernam pada 6 Disember 2005 setelah bangunan Kompleks tersebut siap sepenuhnya pada 25 Oktober 2004 dan diserahkan kepada IPN pada April 2005.

Pada 1 Julai 2006 sebanyak 64 jawatan tambahan telah diluluskan, menjadikan jumlah keseluruhan perjawatan di IPN adalah sebanyak 96 perjawatan dengan pentadbiran dan pengurusannya diketuai oleh seorang pengarah Gred W54.

Kompleks IPN terletak di dalam kawasan seluas 100 hektar dan terbahagi kepada 4 bahagian iaitu :-

  • Blok Pentadbiran yang menempatkan Pejabat Pengarah, Pejabat Am, Pejabat Fasilitator, Bilik-bilik Kuliah, bilik- bilik perbincangan, makmal-makmal komputer, pusat sumber, perpustakaan, pusat data dan bilik-bilik mesyuarat.

  • Blok Asrama yang mampu menampung lebih 200 peserta pada satu-satu masa. Ia dibahagikan kepada 3 blok iaitu 2 blok Asrama Perempuan dan 1 blok Asrama Lelaki. Ia mempunyai jumlah keseluruhan 130 bilik dengan 1 bilik VVIP, 3 bilik VIP, 1 bilik Orang Kurang Upaya (OKU), 1 bilik rawatan dan 124 bilik standard, pjenis berkempar 2 orang sebilik. Setiap bilik asrama dilengkapi dengan perabot, peralatan dan lengkapan yang eksklusif di samping kemudahan sistem rangkaian kampus untuk kemudahan dan keselesaan peserta kursus.

  • Blok Surau yang meyediakan kemudahan peserta-peserta kursus yang beragama islam menunaikan ibadah, juga untuk tujuan aktiviti-aktiviti keagamaan warga IPN, surau IPN mampu menampung sehingga 200 jemaah pada satu-satu masa.

  • Blok Kuarters IPN yang terdiri daripada 35 unit iaitu 3 unit kuarters kelas C, 4 unit Kuarters D, 4 unit kuarters E, 6 unit apartment kelas F, 12 unit apartment kelas G dan 8 unit apartment kelas H.

Disamping itu, IPN juga mempunyai 1 dewan serbaguna yang boleh memuatkan kira-kira 200 orang pada satu-satu masa. Ia dilengkapi dengan sistem teater dan pentas yang boleh digunakan untuk majlis-majlis keramaian IPN. Sebuah dewan makan merangkap kafeteria juga dibina bagi kemudahan peserta-peserta kursus serta pegawai-pegawai dan kakitangan IPN. Ia dibina dengan konsep terbuka dengan ciri-ciri eksotik dan tersendiri. Pelanggan boleh menjamu selera sambil menikmati bayu laut yang nyaman dan mempersonakan.

Aktiviti IPN tidak lengkap tanpa kemudahan untuk beribadah. Disamping itu juga IPN mempunyai gelanggang tenis, padang bolasepak, gimnasium dan gelanggang badminton.


   
Laman Rasmi Institut Perakaunan Negara (IPN)
Hakcipta © 2014. Institut Perakaunan Negara.
Paparan juga sesuai menggunakan pelayar web versi terbaru dengan resolusi minimum 1024x768