Pelancaran EKSA IPN 2022

Pada 19 Januari 2022 yang lalu majlis pelancaran Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) IPN 2022 telah diadakan di Bilik Mesyuarat Semarak, Institut Perakaunan Negara (IPN) Sabak Bernam. Pelancaran telah disempurnakan oleh Puan Hawariah binti Idris, Pengarah IPN. Turut hadir dalam majlis pelancaran ini ialah Dr. Ahmad Shukri bin Abdul Gani, Timbalan Pengarah Akademik dan Dr. D. Joyce Christina Dharmaraj, Timbalan Pengarah Pusat Pembangunan Profesional IPN.

Terdahulu aktiviti gotong royong perdana EKSA IPN telah diadakan pada 14 Januari 2022 melibatkan semua warga kerja IPN. Acara dimulakan dengan aktiviti bacaan surah Yasin di Surau As Solihin. Selepas itu semua warga IPN telah menjalankan aktiviti gotong royong melibatkan lima zon EKSA IPN. Aktiviti ini dijalankan dalam suasana norma baru serta pematuhan SOP sedia ada yang telah ditetapkan oleh kerajaan. Melalui aktiviti ini kesedaran mengenai pelaksanaan aktiviti EKSA dapat diterapkan dalam kalangan warga kerja IPN. Di samping itu juga ianya dapat menyemai semangat kerjasama dan berpasukan sesama mereka.

Pelbagai aktiviti telah dirancang pada tahun ini antaranya audit dalaman EKSA, pengauditan pihak ketiga, aktiviti inovasi EKSA, aktiviti zon-zon EKSA dan pelbagai lagi oleh Jawatankuasa Induk EKSA IPN. Diharap aktiviti-aktiviti yang telah dirancang dapat dijalankan mengikut jadual yang telah ditetapkan selain dapat menyemai budaya EKSA dalam kalangan warga kerja IPN.