Sphider
 
   

Perutusan Pengarah Institut Perakaunan Negara (IPN)



Salam sejahtera,

Selamat melayari laman web IPN.

Pembangunan yang begitu pesat dalam bidang teknologi komunikasi dan maklumat telah memberikan kesan yang besar terhadap cara bagaimana organisasi mengurus maklumat bagi meningkatkan kelebihan daya saing dan prestasi organisasi. Sejajar dengan usaha yang berterusan untuk membangunkan IPN sebagai institusi latihan dan pembelajaran yang berasaskan ilmu, kecekapan IPN dalam mengurus maklumat adalah penting bagi memastikan maklumat yang tepat, terkini dan relevan dapat disediakan untuk tujuan pembuatan keputusan bukan saja di peringkat individu pekerja bahkan juga organisasi.

Sebagai sebuah institusi latihan dan pembelajaran yang berperanan dalam membangunkan modal insan di sektor awam, IPN komited untuk memastikan segala maklumat yang berkaitan dengan program-program latihan dapat disampaikan kepada golongan sasar dengan cepat, tepat dan berkesan, sekaligus memperkukuh dan memperkasakan lagi pengendalian program-program latihan di IPN.

Selain dari itu, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru tuan-tuan dan puan-puan sekalian supaya mengguna dan memanfaatkan segala kemudahan dan peluang latihan yang ditawarkan di IPN dengan sebaik mungkin untuk menimba ilmu pengetahuan dan membangunkan kompetensi diri supaya tidak ketinggalan dalam arus globalisasi yang semakin mencabar ini. Segala ilmu yang diperolehi sewajarnya dipraktikkan untuk meningkatkan prestasi kerja dan pembangunan kerjaya. Ini adalah penting kerana pembelajaran akan hanya membawa kepada peningkatan prestasi kerja individu sekiranya ilmu itu dapat dipraktikkan dengan sewajarnya. Pelaburan dalam pembangunan modal insan akan memberikan pulangan yang berfaedah, yang akhirnya memberi kesan kepada prestasi organisasi secara keseluruhannya.

Saya mengalu-alukan sebarang cadangan bagi memantapkan lagi pengurusan maklumat dan kemudahan yang disediakan melalui laman web ini. Akhir kata, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya dan selamat menjalani sesi pembelajaran di IPN.

NORREZAN BINTI NOORDIN

Pengarah Institut Perakaunan Negara

 
 
Hakcipta © 2008. Institut Perakaunan Negara.
Paparan sesuai menggunakan IE versi 7.0 dan ke atas dengan resolusi 1024x768