Program hari keluarga dilihat mampu mengeratkan hubungan ukhwah selain memupuk semangat kerjasama dan perpaduan dalam kalangan anggota sesuatu organisasi. Pengarah Institut Perakaunan Negara, Encik Abd Hassan bin Mohmad berkata, program seperti ini mampu untuk menyatukan rakan-rakan sekerja bersama ahli keluarga serta menggalakkan aktiviti riadah dan rekriasi yang sihat.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Family Fun Day IPN 2019 Kelab Sukan dan Rekreasi IPN (KESKIP) di kampus IPN di Sabak Bernam pada 26 Januari 2019. Selaku Penaung KESKIP  beliau juga berharap beberapa program lain seperti gotong royong dan program riadah yang lain boleh juga diadakan pada masa hadapan sebagai wadah penyatuan warga kerja IPN.

.            Antara aktiviti-aktiviti sukaneka yang telah dijalankan bersempena program ini adalah permainan kutip jajan untuk kategori kanak – kanak berumur 1 hingga 3 tahun dan 4 hingga 6 tahun, kepit belon untuk kategori kanak – kanak 7 hingga 9 tahun, lari ikat kaki berpasangan kanak – kanak 10 hingga 12 tahun dan lambung kasih berpasangan dewasa.  Aktiviti sukaneka berkenaan telah bermula jam 8.30 pagi dan berakhir pada jam 12.30 tengah hari. 

Aktiviti sebelah petang pula telah dimulai dengan pertandingan “musang berjanggut’ dan “Amazing Race” terbuka untuk rumah sukan IPN sahaja yang bermula pada jam 3 petang.  Pertandingan “musang berjanggut” mewajibkan setiap peserta untuk mengasingkan 8 jenis rempah ratus yang telah digaul bersama.  Selepas menamatkan pertandingan “musang berjanggut”, para peserta meneruskan permainan “Amazing Race” iaitu setiap kad oren yang memiliki cop IPN dan KESKIP IPN hendaklah dicari dan dikumpul bersama untuk mengutip mata bagi setiap kumpulan.  Johan bagi aktiviti ini telah dimenangi oleh pasukan Biru manakala pasukan oren hanya mampu meraih naib juara manakala pasukan merah memperoleh tempat ketiga dan pasukan hijau di tangga keempat.  Untuk kanak –kanak pula, aktiviti bermain laying – layang dan permainan “giant bubble” telah disediakan di padang IPN.

Pada sebelah malam pula, Majlis Makan Malam Family Fun Day IPN 2019 telah diadakan di Anjung Selera.  Antara pengisian pada malam itu ialah karaoke, cabutan bertuah dan sesi tukar hadiah antara warga IPN.  Dua pertandingan juga dianjurkan iaitu permainan interaktif dan swafoto kreatif.  Pengumuman untuk pengundian pemenang anugerah pekerja IPN turut diadakan dan menyaksikan 5 warga IPN telah berjaya iaitu Encik Ahmad Shukri bin Abdul Ghani untuk kategori Pakcik/Makcik “Ohsem” manakala Encik Rajendran a/l Arjunan membawa gelaran Pakcik/Makcik “Kebaboom”.  Encik Abdul Aziz bin Mosli pula dipilih oleh warga IPN untuk kategori Pakcik/Makcik “Happy Go Lucky” manakala Encik Hariz bin Abu Hasshim dinobatkan sebagai Pakcik/Makcik “Mabeles” dan Encik Abd Hassan bin Mohmad telah berjaya membawa balik gelaran Pakcik/Makcik “Gojes”.

Sesuatu yang menarik mengenai Family Fun Day IPN 2019, penyediaan makan minum sepanjang program ini telah disediakan sendiri oleh ahli jawatankuasa yang terlibat. Begitu juga dengan pengurusan acara dan permainan turut diuruskan sendiri oleh jawatankuasa-jawatankuasa yang telah dilantik. Semoga program ini dapat meningkatkan hubungan ukhwah sesama warga IPN dan diteruskan pada masa hadapan.